Sunday 27 November 2011

Penulisan Dakwah : AL-QURAN KALAMULLAH

AL-QURAN KALAMULLAH

Ramadhan telah melakar sejarah-sejarah penting di dalam zaman kebangkitan Islam. Pada bulan mulia ini Islam telah mencapai saat gemilang apabila Islam memenangi perang Badar. Kegemilangan itu terus dikecapi apabila berlakunya peristiwa pembukaan kota Mekah.Namun terdapat satu lagi peristiwa yang sangat agung di dalam sejarah manusia seluruh dunia.Sebuah peristiwa yang mengubah kehidupan umat Islam. Tanggal 17 Ramadhan , Al-Quran telah diturunkan oleh Allah S.W.T kepada Rasulullah S.A.W untuk disampaikan kepada umat manusia. Al-Quran adalah Huda (petunjuk) dan pembeza (furqan). Allah berfirman di dalam surah Al-Baqarah ayat:185

“Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan mengenai petunjuk itu serta pembeza (antara yang haq dan yang bathil)”

Malah Al-Quran juga membuktikan tentang kewujudan Allah S.W.T dan sekaligus mengiktiraf kerasulan nabi S.A.W. Tugas Rasulullah S.A.W menjadi sangat berat apabila wahyu pertama diturunkan kepadanya.. SubhanaAllah!! tidak tertanggung tanggungjawab itu kepada manusia seperti kita. Tugas menyampaikan wahyu bukan sahaja untuk dirinya tetapi kepada umatnya jelas membuktikan bahawa Rasulullah S.A.W seorang yang sangat penyabar dalam menyebarkan Islam.

“Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (nabi Muhammad S.A.W) yang telah menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu,dan dia sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagi kamu dan dia pula menumpahkan perasaan belas kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman” - (At-Taubah:128)

Penurunan ayat-ayat suci Al-Quran melalui dua peringkat. Pertama dari Luh Mahfuz ke Baitul Izzah kemudian ke langit dunia sekaligus. Dari langit dunia kepada nabi S.A.W secara mutawattir (beransur-ansur).Sebagai muslim, umat Islam wajib beramal dengan Kitab Al-Quran kerana Al-Quran merupakan petunjuk dalam kehidupan manusia.Di dalam Al-Quran sendiri terdapat banyak kisah yang menceritakan tentang mukjizat Rasulullah S.A.W ini iaitu Al-Quran.

"kitab Al-Quran ini tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia menjadi petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa" - (Al-Baqarah:2)

"wahai orang-orang beriman, tetapkanlah iman kamu kepada Allah dan RasulNya, dan kepada kitab Al-Quran yang telah diturunkan kepada RasulNya (Muhammad S.A.W) dan juga kepada kitab-kitab suci yang diturunkan dahulu daripada itu sesiapa yang kufur ingkar kepada Allah dan Malaikat-malaikatNya, dan kitab-kitabNya dan Rasul-rasulNya dan juga hari akhirat maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang sangat jauh" - (An-Nisa':136)

"bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran dan dirikanlah solat (dgn tekun) sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan keji dan mungkar dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya) dan (ingatlah)Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan" - (Al-Ankabut:45)

banyak lagi yang diceritakan di dalam Al-Quran tentang kemuliaannya serta kekuasaan Allah S.W.T serta cerita tentang manusia terdahulu. kalau ana hendak menulis semuanya takut "boring " plak antum nak baca. :)

Al-Quran merupakan mukjizat Rasulullah S.A.W yang memberitahu tentang kisah terdahulu , kisah sekarang dan kisah masa depan.

Di dalam surah Al-Ankabut:45 jelas menyatakan "…mengingati Allah itu lebih besar (faedah dan kesannya)..".jadi dalam bulan mulia ini dengan mengerjakan amalan sunat mendapat pahala seperti amalan wajib dan amalan wajib itu mendapat pahala tanpa batas (pahala diberi mengikut kehendak Allah). Melalui amalan-amalan sunat dan wajib ini kita akan mendekatkan diri dengan Allah S.W.T.. Allah berfirman:

"dan bersegeralah kamu mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat keampunan dari Tuhankamu dan (mendapat) syurga yang bidang luasnya segala langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa"
 - (Ali-Imran:133)

“..orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata) : wahai Tuhan kami, tidaklah Kau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, peliharalah kami dari azab Neraka”
(Ali-Imran:191)


Turunya Al-Quran pada malam Qadr. Peristiwa bersejarah itu telah telah diberitahu oleh Rasulullah S.A.W berlakunya pada sepuluh malam terakhir. Hadith ini telah dirakamkan oleh sahabat Baginda S.A.W:

Dari Ibnu Umar r.a. ia berkata: “Dinampakkan dalam mimpi seorang lelaki bahawa Lailatul Qadar berlaku pada malam kedua puluh tujuh, maka Rasulullah s.a.w. bersabda: “Saya pun (Nabi) bermimpi seperti mimpimu, (dinampakkan pada sepuluh malam terakhir.) maka carilah ia (Lailatul qadar) pada malam-malam yang ganjil.” - (H.R Muslim)

Kita merupakan umat Rasulullah S.A.W iaitu umat di akhir zaman yang mempunyai jangka hayat umur yang pendek. Jadi masa untuk beribadat kepada Allah itu sangat pendek. Oleh itu, Rasulullah S.A.W menyuruh kita agar berusaha untuk mencari Lailatul Qadr.

Daripada Aisyah r.a. Sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda: “ Berusahalah untuk mencari Lailatul Qadar pada malam yang ganjil dari sepuluh malam terakhir di bulan Ramadhan.” -
(H.R Bukhari)

Penurunan Al-Quran pada malam Qadr telah dibuktikan oleh Kitab Al-Quran di dalam surah Al-Qadr. Dan apa yang istimewanya malam Qadr ini?? Pada malam itu adalah malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Beribadat pada malam itu seolah-olah beribadat selama seribu bulan.

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Qadr” - (Al-Qadr:1)

“Dan apa jalannya engkau mengetahui apa dia kebesaran malam Qadr itu?” – (Al-Qadr:2)

“Malam Qadr itu lebih baik dari seribu bulan” – (Al-Qadr:3)

Al-Quran adalah sebaik-baik petunjuk. Sebagai Umat Islam ambillah, Al-Quran sebagai sahabat yang paling rapat dengan kita kerana Al-Quran adalah pembeza antara Haq dan Bathil dalam soal kehidupan kita ini. Bagi mereka yang beragama Islam tetapi tidak mengikut syariat yang telah Allah tetapkan, maka mereka tergolong dalam golongan orang-orang yang derhaka, sedang sudah jelas Allah menurunkan ayat-ayat suci-Nya memberi peringatan.

"dan sesungguhnya, Kami telah menurunkan kepada kamu ayat-ayat keterangan yang menjelaskan (hukum-hukum, surah-surah dan tegah) dan contoh tauladan (mengenai kisah-kisah dan berita) orang-orang yang telah lalu sebelum kamu, serta nasihat pengajaran bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa" - (An-Nur:34)

"Demi sesungguhnya, Kami telah menurunkan ayat-ayat yang menerangkan (hakikat kebenaran dengan berbagai dalil dan bukti) dan Allah memberi hidayah kepada sesiapa yang dikehendakinNya ke jalan yang lurus" - (An-Nur:46)

-Hasmin Al-Amin
( 23:26PM , Sabtu , 21 Ogos 2011 )


No comments:

Post a Comment