Monday 6 August 2012

Penulisan Dakwah : Badar Al-Kubra , Janji Allah Itu Pasti

Bismillahirahmanirahim..

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang , yang mengurniakan kita dengan nikmat Iman , nikmat islam , nikmat kesihatan dan nikmat Ramadhan. Selawat dan Salam ke atas junjungan besar baginda Nabi S.A.W dan keluarga serta para sahabat. Salam kepada para Alim Ulama' , ustaz-ustaz dan para sahabat-sahabat seperjuangan , seakidah dan saudara-saudara se-islam semuanya..  Alhamdulillah hari ini ana , dikurniakan sebuah ilham untuk menulis kembali blog Penulisan Dakwah ini. Ilham ini datang dari Allah S.W.T yang Maha Luas Ilmunya , nescaya jika ditulis dengan 7 lautan di dunia , masih tidak cukup maka kering kontanglah laut..


Segala isi Penulisan Dakwah ini jika baik maka ambillah dan kongsikan , jika ianya bertentangan dengan syariat Allah maka buangkannya sejauh-jauhnya. Segala kesilapan dan kekasaran sepanjang penyampaian diharapkan saudara-saudari memaafkan. 

Badar Al-Kubra , peperangan pertama umat islam merupakan penentu kepada penyebaran Islam. Usaha Nabi S.A.W dalam meyebarkan islam tidak tergendala di situ kerana pertologan dari Allah. Sungguh Janji Allah itu benar-benar belaka..



" Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang beriman jiwa dan diri mereka dengan memberikan kamu syurga , mereka berjuang di jalan Allah maka ada yang membunuh dan terbunuh . Sebagai janji Allah di dalam kitab-kitab Taurat , Injil serta Al-Quran dan siapakah yang lebih menepati janjinya selain Allah ? Oleh itu , bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan dan ketahuilah jualan itu ialah kemenangan yang besar " (At -Taubah :111)



Abdullah Ibn Jahshin telah menyerang angkatan perdagangan kaum Quraisy pada bulan Rejab yang diharamkan berperang telah dianggap oleh kaum Quraisy sebagai cabaran hebat kepada mereka.  Kaum Quraisy merasakan kematian Al-Hadhrami ketika serangan itu seharusnya dibela. Rasulullah menyedari pihak Quraisy pasti akan menuntut bela.  Lantaran itu Baginda telah mempersiapkan angkatan untuk bertempur.



Bermulanya peristiwa bersejarah ini pada tahun kedua hijriah. Baginda S.A.W bersama 313 orang  tentera telah keluar dari Madinah untuk menyekat angkatan perdagangan kaum Quraisy yang pulang dari negeri Syria (Syam) dalam usaha mereka hendak menyekat persiapan tentera Quraisy Makkah untuk menyerang Madinah.

Abu Sufyan yang mengetuai angkatan perdagangan kaum Quraisy telah menyedari tindakan Rasulullah itu lalu beliau telah menghantar utusannya yang bernama Dham Dham bin Amr Al-Ghifari meminta bantuan dari Makkah. Makkah menjadi kecoh dengan berita ini. Ramai pembesar-pembesar Quraisy merasa marah dengan tindakan Muhammad.  Mereka lalu mengumpulkan orang untuk keluar membantu Abu Sufyan.  Tidak ada seorang lelaki pun yang ingin ketinggalan dalam peperangan ini.  Ada diantara mereka yang tidak ikut tetapi mengutus orang suruhan (Hamba) mereka untuk ikut serta.



Rasulullah telah menghantarkan sahabatnya untuk menyiasat tentang kekuatan musuh. Lalu dua orang sahabat dihantar dan menyiasat. Hasil dari penyiasatan itu , baginda S.A.W telah menganggarkan kekuatan musuh 900 hingga 1000 orang. Rasulullah pada waktu itu merasa bimbang setelah kejadian tenteranya bertempur dengan tentera Quraisy lalu tentera islam ada yang mengundur diri.  Nabi Muhammad S.A.W juga ingat bahwa asalnya mereka dari madinah adalah hendak mengejar unta-unta yang memuatkan perdagangan kaum Quraisy yang dilarikan oleh Abu Sufyan.

Nabi Muhammad S.A.W mengadakan musyawaratan bersama pahlawan-pahlawan tenteranya meminta pendapat mereka. Ketika itu Rasulullah amat merasa susah hati dan berubah wajahnya. Apabila Abu Bakar r.a melihat keadaan ini, lalu beliau berkata:

“Ya Rasulullah, kita bertempur dengan musuh!”.  Diikuti pula dengan Umar r.a.  

Kemudian seorang sahabat Miqdad Bin Al-Aswad lalu berdiri dan berkata :

“Ya Rasulullah, teruskanlah apa yang Allah telah perintahkan padamu! Maka kami serta bersamamu.  Demi Allah, kami tidak akan berkata kepada engkau seperti perkataan kaum Bani Israil kepada Nabi Musa pada zaman dahulu iaitu : " Pergilah engkau bersama Tuhanmu, maka berperanglah engkau berdua dan kami akan duduk termenung saja..!!."  Pergilah engkau bersama Tuhanmu! Dan berperanglah engkau bersama Tuhanmu.  kami sesungguhnya bersama engkau dan Tuhanmu.  kami ikut berperang.  Demi Allah, jikalau engkau berjalan dengan kami sampai kedesa Barkul Ghamad, nescaya kami berjuang bersamamu daripada yang lainnya.  Kami akan berperang dari sebelah kananmu dan di antara hadapanmu dan belakangmu."

Setelah itu, nabi S.A.W lalu bersabda pada seluruh tenteranya:


“Berjalanlah kamu dan bergembiralah kerana sesungguhnya Allah telah memberi janji. Demi Allah, sungguh aku seakan-akan sekarang ini melihat tempat kebinasaan kaum Quraisy.”

Ketika berhadapan dengan tentera musuh , tentera-tentera islam berdiri di dalam Saff yang kukuh.. 313 tentera membentuk seperti sebuah bangunan yang tersusun kukuh dan kuat berhadapan dengan 1000 orang Quraisy yang kucar-kacir. Sungguh itulah kekuatan umat islam seperti yang difirmankan oleh Allah S.W.T di dalam surah As-Saff :



"Allah menyukai orang-orang yang berperang di jalan agamaNya  dalam keadaan tersusun kukuh , mereka ibarat sebuah bagunan yang tersusun kukuh " (As-Saff : 4)


Pertempuran berlaku dengan begitu dasyat. Nisbah bagi tentera islam 1:3 melawan tentera quraisy. Rasulullah semakin bimbang , tetapi baginda terus-menerus berdoa kepada Allah S.W.T agar diberikan pertolongan. Baginda berbicara dengan Allah S.W.T yang maha Kuasa :



“ Ya Allah! Hamba memohon kepada Engkau akan janji dan perjanjian Engkau.  Ya Allah! Jika Engkau berkehendak (mengalahkan pada hamba), tidak akan Engkau disembah lagi.” 


Bilakah pertolongan Allah akan datang ? Rasulullah S.A.W melihat keadaan perang , keadaan semakin menekan tentera islam untuk terus bertahan. Rasulullah S.A.W tidak henti-henti berdoa.

Tiba-tiba Rasulullah terasa sesuatu di dalam kepala.. Lantas terduduk dan seperti orang pengsan secara tiba-tiba buat seketika. Tubuhnya menggigil  dan terketar-ketar seperti orang dalam ketakutan. Beberapa seketika baginda kembali seperti biasa , dan bangun kembali lalu bersabda kepada Abu Bakar r.a:


" Gembiralah wahai Abu Bakar.  Telah datang pertolongan dari Allah kepadamu. Malaikat Jibril sampai memegang kendari kuda "


Rasulullah memberi semangat kepada tenteranya dengan bersabda bahawa jaminan tentera Islam yang turut serta diperang Badar dijamin masuk syurga.  Tentera Islam semakin berkobar-kobar semangatnya.

Melihat kepada keadaan perperangan itu tentera islam melihat tentera-tentera Quraisy tiba-tiba seolah-olah dipancung , dan rabah secara tiba-tiba tanpa ada orang yang memancungnya. badan tentera Quraisy rebah dan nyawa mereka melayang tanpa ada orang yang berlawan dengan mereka. Rasulullah S.A.W melihat bahawa itulah tentera Malaikat yang diutuskan oleh Allah S.W.T yang turun dari langit ibarat hujan yang tiada henti. Allahuakbar !!

Tentera-tentera islam terus melaungkan " Esa ! , Esa ! Esa ! "  

Tentera-tentera Quraisy lari meninggalkan Badar selamatkan diri..

Tentera Islam Menjulang panji Islam. Kemenangan ini disambut dengan riang gembira oleh orang yang tidak mengikut peperangan, yaitu kaum perempuan, kanak-kanak dan beberapa orang lelaki yang diberi tugas mengawal Madinah dalam masa pemergian tentera Islam ke Badar itu.

Kisah perperangan Badar Al-Kubra menjadi iktibar kepada kita di bulan Ramadhan Al-Mubarak ini. Puasa bukanlah alasan bagi kita untuk tidak menjalankan amanah serta taklifan yang telah diberi oleh Allah S.W.T. Bahkan , Ramadhan merupakan bulan kemenangan bagi umat islam. Banyak peristiwa yang boleh kita pelajari di dalam bulan Ramadhan selain Nuzul Quran dan Badar Al-Kubra.



Apa yang pasti Janji Allah dalam membantu tentera Islam ketika perperangan ditepati oleh-Nya. Allah S.W.T tidak akan memugkiri janjiNya..



"...Sebagai janji Allah di dalam kitab-kitab Taurat , Injil serta Al-Quran dan siapakah yang lebih menepati janjinya selain Allah ? .... " (At-Taubah : 111)


" Dan sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam perperangan Badar , sedang kamu berkeadaan lemah (kerana kamu sikit bilangannya dan kurang alat perang). Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah , supaya kamu bersyukur (akan kemenangan itu). " (Ali-Imran : 123)


Hasmin Al-Amin
[Isnin , 15.10 pm , 6 Ogos 2012 (17 Ramadhan) ]