Monday 4 June 2012

Penulisan Dakwah : Anak Soleh


Bismillahirahmanirahim

Assalamualaikum warahmatullah

Segala puji bagi Allah , Dia yang mengilhamkan segala kebaikan dan Dia jugalah yang mengilhamkan kefasikkan. Maka beruntunglah sesiapa yang mensucikan kebaikkan dan rugilah siapa yang mengotorkannya. Selawat atas junjungan besar baginda S.A.W yang tidak putus-putus kasih dan sayangnya pada umat baginda. Para tuan guru , alim ulama' , imam-imam besar ,  sahabat-sahabat seperjuangan dan saudara seakidah , dengan rasa rendah diri ana minta saudara sekelian menegur segala salah dan silap sepanjang PENULISAN DAKWAH ini berjalan samaada dari segi pengisian mahupun ucapan-ucapan yang menyimpang. Jika isi PENULISAN DAKWAH ini berguna dan baik maka , kongsikanlah kepada orang lain , tetapi jika saudara mendapati pengisiannya tidak baik dan lagha , maka tegurlah ana dan nasihatkanlah.

" from zero to hero ".. bukan mudah hendak mengubah manusia.. bukan mudah hendak menyentuh hati mereka.. tetapi merekalah yang bakal mengubah dunia akan datang , penyambung kepada rantaian perjuangan Rasulullah S.A.W. Merekalah generasi yang akan mencorak dunia Islam selepas kita. Itulah ANAK SOLEH/SOLEHAH..

Dari Abu Hurairah r.a. katanya :
Rasulullah s.a.w.bersabda :

" Apabila seseorang telah meninggal dunia putuslah segala amalannya kecuali tiga , sedekah jariah, atau ilmu yang dimanfaatkan atau ANAK SOLEH yang mendoakannya "    
(HR Muslim)  

Baru-baru ini ana telah terlbat dalam menguruskan sebuah Kem Motivasi Anak Soleh yang diadakan di Madrasah Ibn Mas'ud , menyelami hati dan masalah adik-adik tidak pernah mudah sejak dari hari pertama hingga hari terakhir program berjalan. Tetapi hari demi hari adik-adik sedikit demi sedikit berubah hingga hari terakhir mampu mengalirkan air mata kerana rasa cinta pada Allah dan ibu ayah. Walaupun kita manusia tidak lari dari sikap ego dan sambong , tetapi jauh di dasar hati manusia , Allah meletakkan perasaan cinta padaNya itu tidak pernah hilang dari hambaNya. Walau jahat bagaimana pun kita perasaan itu tetap ada , hanya tidak ditimbulkan oleh kerana hati yang hitam dan gelap kerana maksiat telah menenggelamkan cahaya cinta kepada Allah itu.. Kasihnya Allah pada kita... Dia yang menciptakan kita.. Dia tahu segala yang baik dan buruk buat kita..


"..... boleh jadi kamu benci tentang sesuatu padahal ia baik bagi kamu , dan baleh jadi kamu suka sesuatu padahal ia buruk bagi kamu dan (ingatlah) , Allah jualah yang mengetahui (semuanya itu) , sedang kamu tidak mengetahuinya "
( Al-Baqarah : 216 )  
  
Namun , Apakah asas paling utama bagi seorang anak soleh??
sudah tentu perkara utama dalam segenap kehidupan mukmin , Iman dan aqidah yang mantap menjadi makanan tarbiyyah bagi seorang anak soleh. 

Aqidah merupakan tali kita dengan Allah S.W.t.. Tanpa tali ini , manusia akan hanyut dan terbiar tanpa arah tuju. Ibaratkan seekor lembu yang diikat tali dengan sebatang kayu. Lembu tersebut tidak akan berkeliaran dan merosakkan tanaman petani lain kerana terikat dengan kayu tersebut. Kayu yang diikat tali tersebutlah yang mengawal lembu tersebut bagi memastikan ianya tidak berkeliaran. Begitulah perumpamaannya dengan manusia , manusia harus menjaga tali dengan Allah. Jika mereka terlepas dari ikatan dengan Allah , hidup mereka akan hanyut dan terbiar tanpa tujuan hidup. Kehidupan menjadi lagha dan sia-sia. 

".... Sesungguhnya telah nyata kebenaran (islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu , sesiapa yang tidak percayakan taghrut , dan dia pula beriman kepada Allah , maka sesungguhnya dia telah berpegang teguh kepada simpulan (tali agama) yang teguh tidak akan putus dan (ingatlah) , Allah Maha Mendengar , lagi Maha Mengetahui "
(Al-Baqarah : 256)

Rajin beribadat berdoa kepada Allah dan mendoakan kedua ibu bapa merupakan unsur utama anak soleh. Manusia ibarat besi , apabila tidak digilap dengan minyak ianya akan berkarat , begitulah perumpamaannya dengan manusia. Manusia harus rajin beribadat kepada Allah. Ianya ibarat makanan rohani bagi manusia , jika tidak ada tarbiyyah rohani , manusia akan lalai dan semakin tidak menjaga hubungan dengan Allah. Lantas mengabaikan Nya. Mendoakan kedua ibu bapa adalah pekara yang tidak pernah dilupakan bagi anak soleh. Ini sahajalah cara kita membalas jasa kedua ibu bapa kita. Tidak mungkin kita dapat membalas jasa ibu yang membawa kandungan selama 9 bulan , berkongsi makan dan minum , tidur yang terganggu , berjaga tengah malam. Mana mungkin kita dapat membalas jasa ayah , dia menghantar ke sekolah , dia memberi pendidikan kepada kita , dia menjaga keselamatan kita. Apakah masih ada anak yang membuat ibu bapanya menitiskan air mata??? Istighfar wahai saudara..


Dari Ibnu Mas’ud r.a bahawa seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah s.a.w, :
” Manakah amal yang lebih utama?” Beliau menjawab,:”Sembahyang dalam waktunya, berbakti kepada ibu bapa dan berjuang di jalan Allah ”
(HR Bukhari)

Menyeru orang lain menuju kebaikan dan mencegah kemungkaran (amar makruf nahi mungkar) merupakan ciri-ciri anak soleh yang akan menyambung perjuangn Rasulullah S.A.W. Mereka cintakan kebaikan dan bencinkan kemungkaran. Generasi inilah yang berhak memimpin sebuah institusi keluarga , masyarakat dan negara. 

" dan hendakalah ada di kalangan kamu satu puak yang menyeru kepada (berdakwah) kebajikan , menyuruh berbuat ma'ruf dan serta mencegah kemungkaran  , dan merekalah orang-orang yang berjaya "
(Ali-Imran : 104)

Selain itu , anak soleh tidak sombong , sopan , dan menghormati orang lain. Sesungguhnya Allah sangat benci pada manusia yang sombong berjalan di atas bumiNya. Sebagai manusia yang kerdil lagi bertaraf hamba di sisi Allah , siapalah kita hendak menunjukkan kesombongan. Bersikap sopanlah apabila bertutur dengan manusia lain. Menghormati orang lain merupakan perkara asas bagi menjadi anak soleh. Jangan sesekali kita meninggikan suara kita kepada orang tua kita , malah hormati mereka adalah perkara yang utama dalam membentuk peribadi muslim sejati.

Selain itu bersabarlah dalam menghadapi kehidupan dan bencana yang datang. Beriman pada qodo' dan qadar itu rukun iman yang harus difahami dengan baik. dalam kedupan ini segala ujian itu tarbiyyah buat diri. Tidak ada seorang pun yang tidak diuji. Itulah tanda Allah sayang pada kita. Tidak semuanya indah , tidak semuanya seperti yang dirancang. Namun setiap ujian Allah itu Allah letakkan pada kemampuan kita.

" Sesungguhnya Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya (dibuat) olehnya , Setiap orang mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya dan dia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya ...... "(Al-Baqarah : 286)

Banyak lagi ciri-ciri anak soleh yang dapat disenaraikan. Sedikit ini sahajalah yang termampu ana kongsikan. Jika taip lebih banyak akan menjadi lebih panjanglah PENULISAN DAKWAH ini. Hadamkan apa yang termampu dahulu. Biar dapat sedikit , jangan tidak buat langsung. 

Wallahualam

Akhi Arasy Masod Pengerusi Madrasah Ibnu Mas'ud


Pembawakan Bro Fairuz begitu terkesan

Turut bersama Dr.Zulkifli Al-Bakri

Imam Muda Asyraf turut bersama di dalam kem motivasi anak soleh

Imam Muda Najdi

**Semoga air mata adik-adik menjadi saksi di hadapan Allah kelak...


Hasmin Al-Amin
(10.15am - 8 Jun 2012 - Friday)